KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu perkhidmatan awam Sarawak merombak semula prosedur usang dan melambatkan pelaksanaan projek rakyat di negeri ini.
Beliau berkata, apa yang berlaku ketika ini ialah banyak projek rakyat agak lambat pelaksanaannya dan ini mungkin disebabkan birokrasi atau cetak merah mahupun prosedur yang memperlahankan proses pelaksanaannya.
"Sekiranya ada keperluan merombak prosedur berkenaan maka rombaklah. Sesetengah prosedur terbabit sudah usang," katanya ketika menghadiri Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Abang Johari juga berkongsi mengenai pelaksanaan Jambatan Marudi yang tertangguh selama setahun atau lebih dan kerajaan telah menamatkan kontraknya dengan pihak kontraktor berkenaan. Kesudahannya, kerajaan memutuskan menggunakan kontraktor penyelamat bagi menyiapkan projek itu.
"Tetapi prosedur tertentu perlu dipatuhi untuk membolehkan agensi kerajaan mengambil langkah pembetulan secepat yang diinginkan," tambahnya.
Namun, beliau tidak mencadangkan supaya pematuhan prosedur ditingggalkan terus kerana unsur integriti atau pentabiran baik mesti sentiasa menjadi asas bagi perbelanjaan awam.
"Tetapi terdapat prosedur yang saya percaya boleh diselaraskan supaya pembangunan boleh dipercepatkan," tambahnya.
Selain itu, katanya, dengan memperkenalkan teknologi digital juga, prosedur berkaitan kewangan juga mesti diselaraskan untuk lebih praktikal dengan teknologi terbabit.
GAMBAR:JABATAN PENERANGAN
Sumber dari : Jiwa Bakti